Mengenai Kami

Penubuhan Akademi Al Baraqah
Akademi Al Baraqah telah dibuka secara rasmi mulai 2012 di Bukit Jelutong, Shah Alam. Diasaskan oleh Siti Mariam Binti Jamaluddin, iaitu seorang graduan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang cenderung ke arah dunia pendidikan semenjak dari menara gading lagi. Selepas 6 tahun pengalaman dalam dunia pendidikan, dan bercita-cita tinggi untuk mengubah pemikiran anak bangsa ke aras lebih tinggi terutamanya umat Islam, maka pada tahun 2011, cadangan menubuhkan Akademi Al Baraqah direalisasikan bersama Syafiq bin Rozman iaitu seorang usahawan muda juga graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan juga suami beliau.

Asal penubuhan Akademi Al Baraqah hanya fokus kepada satu subjek sahaja kerana minat dan kepakaran dalam subjek Matematik. Sambutan dari penduduk setempat amat menggalakkan, pelajar yang mendaftar semakin ramai dan permintaan terhadap subjek lain juga semakin mendesak. Tetapi, pengasas tetap mahu fokus kepada kepada subjek Matematik sahaja kerana mementingkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Transformasi Sistem Pendidikan Akademi Al Baraqah
Latar belakang pengasas yang cenderung ke arah islam, sepanjang tahun 2012 hingga 2013, Syafiq bin Rozman telah melakukan kaji selidik mengenai kekurangan pendidikan Islam dalam sistem pendidikan sedia ada di Malaysia. Hasil kaji selidik yang dijalankan antara Januari 2012 hingga Ogos 2013, keputusan yang didapati amat mengejutkan. Didapati bahawa rakyat Malaysia kurang mengetahui mengenai tujuan al-quran diturunkan. Ramai berpendapat bahawa al-quran diturunkan untuk dibaca, perbetulkan tajwid dan hafal surah-surah malah lebih baik semua surah di dalam al-quran dihafal dengan taranum. Apakah ia sebab utama al-quran diturunkan? 

Tujuan Al-Quran diturunkan

Al-Quran diturunkan kepada umat manusia diantaranya supaya mereka menjadikannya sebagai petunjuk, dijadikan pedoman, mendapat ketenangan, memberi ilmu pengetahuan serta pembimbing dalam tatacara kehidupan melalui peraturan perintah dan larangan yang telah tertulis.


Apa yang lebih dari itu adalah, Al-Quran membantu manusia ke jalan keamanan, ketenteraman, keharmonian, keilmuan serta kewujudan sebuah tamadun yang hebat dan mampu menggegar dunia. Begitulah kehebatan Al-Quran dengan kemukjizatan yang terkandung di dalamnya sehingga Allah SAW berfirman:



“Dan sekiranya ada suatu bacaan (Kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digoncangkan atau bumi jadi terbelah atau oleh kerananya orang-orang yang sudah mati dapat berbicara (tentunya itu adalah Al-Quran).”  {Surah Ar-Ra'd [13] : 31}



Tetapi zaman ini Al-Quran tidak lagi diambil sinar cahayanya dan ia lebih ke arah pembacaan yang tidak keruan, perhiasan dinding, mengamalkan surah-surah tertentu sahaja (Yassin dan sebagainya) serta pembacaan yang memenuhi mulut tetapi kosong pada akal fikiran dan jauh dari hati. Ada yang membaca tanpa faham maknanya dan ada yang tidak tahu membacanya langsung. Ada pula yang tahu membaca dan tahu maknanya, tetapi tidak tahu memanfaatkannya dalam kehidupan (tidak memahaminya). Ada pula yang membaca tetapi untuk mengingkarinya. Ada pula yang membacanya untuk mendapatkan upah semata-mata.

Lalu jadilah Al-Quran itu sebagai pemenuh mulut sahaja dan tidak dapat melepasi kerongkong. Ia tidak dapat menggerakkan akal serta tidak pula dapat menerangkan hati dan jadilah umat Islam itu umat yang mengabaikan Al-Quran.


Penubuhan School of Quran

Jadi, hasil kajian yang dijalankan, pengasas bersama 2 orang ulama yang juga pensyarah dan penceramah bebas di Malaysia serta graduan dari Mekah dan Madinah, maka timbullah cadangan untuk menubuhkan pusat pengajian Islam yang bukan sahaja mengjar pelajar belajar membaca dan menghafal al-quran, tetapi cara tadabbur dan mengamalkan ajaran al-quran yang mana lebih penting dari segala ilmu yang ada. Pusat pengajian tersebut dinamakan sebagai School of Quran dengan harapan ia dapat menjadi pencetus perubahan kepada sistem pendidikan Islam sedia ada dan mengembalikan kegemilangan era Islam.s semoga para pelajar juga dapat mengamalkan ajaran al-qruan dan berakhlak seperti yang diajarkan di dalam al-quran.

Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Aisyah RA mengenai akhlak Rasulullah SAW. Aisyah menjawab, "Akhlak Nabi SAW adalah Al-Quran." (HR Muslim).

Sungguh, jawapan Aisyah ini singkat, namun penuh makna. Aisyah menyifatkan Rasulullah SAW dengan satu sifat yang boleh mewakili seluruh sifat yang ada. Memang tepat, akhlak Nabi SAW adalah Al-Quran.

"... Al-Quran ini memberi petunjuk ke (jalan) yang paling lurus ..." (Surah Al-Israa ': 9).

"(Yang) memberi petunjuk kepada (jalan) yang paling lurus ..." (Surah Al-Jinn: 2).

Visi
Menjadi sebuah pusat pengajian Al-Quran berprestij yang menjadi rujukan dan sumber ilmiah dalam pengajian Al-Quran  yang menyumbang ke arah peningkatan kualiti pendidikan Al-Quran di seluruh negara.

Misi
Melahirkan generasi pencinta Al-Quran yang berilmu, bertakwa dan beramal dengannya serta mampu menyumbang kepada masyarakat akan pentingnya pemahaman tadabbur Al-Quran dalam melahirkan generasi yang memahami Islam dalam ertikata sebenarnya.

Moto
Melahirkan generasi celik Al-Quran

Objektif

Antara objektif yang dirangka oleh School Of Quran
·         Memberi peluang untuk belajar membaca Al-Quran daripada zero.
·         Mengajak individu muslim mendampingi dan membudayakan Al-Quran.
·         Melahirkan generasi yang mempu mentadabbur dan mengamalkan intipati Al-Quran.
·         Menyediakan pengajian Al-Quran dari peringkat asas hingga ke peringkat tinggi.
·         Menjadi pusat komuniti yang mampu menjadi rujukan umat Islam setempat.
·     Melatih individu mengamalkan intipati Al-Quran secara tidak langsung mengamalkan sunnah Rasulullah saw kerana akhlak Rasulullah saw sama seperti intipati Al-Quran.
·         Mencungkil potensi keupayaan individu ke tahap tertinggi.
·      Menjadikan mereka pelajar tadabbur Al-Quran yang dihormati dan disegani dengan ilmu yang diamalkan oleh Rasulullah saw.


No comments:

Post a Comment

Any suggestion, may leave your comment here. Thank You.