[Dec '14] Kem Ghulam Al Dakwah




Kem ini adalah suatu usahasama bersama Akademi Al Baraqah dan Y. Bhg. Ust Abd Muein. Objektif utama kem ini adalah untuk mengubah paradigma pelajar supaya menjadi seorang yang soleh dan mmusleh dengan mengamalkan ajaran al-quran dan sunnah Rasulullah saw. 

Pendidikan Anak Melalui Surah Luqman
Kelainan pada kem ini adalah lebih kepada berdakwah, iaitu menerapkan ajaran al-qruan kepada sanubari peserta melalui Surah Luqman, antaranya : 

Pelajaran 1
Luqman berpesan kepada anaknya supaya jangan mensyirikkan Allah, kerana syirik itu adalah merupakan satu kezaliman yang besar.

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يٰبُنَيَّ لاَ تُشْرِكْ بِٱللَّهِ إِنَّ ٱلشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar” (Surah Luqman:13)

Pelajaran 2
Luqman mengajar anaknya supaya bersyukur kepada Allah di atas anugerah nikmat-Nya yang tidak terhitung banyaknya. Sebesar-besar nikmat yang kita dianugerahi adalah nikmat Iman dan Islam.

……… أَنِ ٱشْكُرْ لِي……
Maksudnya: “……….(dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu …….” (Surah Luqman:14)

Pelajaran 3
Luqman mendidik anaknya agar berterima kasih serta berbuat baik kepada ibubapa di atas susah payah terutamanya seorang ibu yang menggandungkannya, seterusnya menyusukannya dengan penuh kelembutan dan belaian kasih-sayang, manakala seorang ayah pula bertungkus-lumus bekerja untuk mencari rezeki demi untuk membesarkan anak.

وَوَصَّيْنَا ٱلإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْناً عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ ٱشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ ٱلْمَصِيرُ
Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman:14)

Pelajaran 4
Luqman mendidik anaknya dengan mencegah anaknya dari mentaati ibubapa yang mendesak supaya mensyirikkan Allah dan segala macam perbuatan maksiat yang dilarang Allah. Namun dalam masa yang sama mengauli mereka dengan cara yang baik.

وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلاَ تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي ٱلدُّنْيَا مَعْرُوفاً ……
Maksudnya: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik …..” (Surah Luqman:15)

Pelajaran 5
Luqman mendidik anaknya agar menuruti jalan yang dilalui oleh mereka yang kembali kepada Allah yakni jalan yang Allah anugerahkan nikmat kepada mereka yang terdiri daripada golongan nabi-nabi, siddiqin, syuhada’ dan sholihin. Bukan jalan yang dilalui oleh mereka yang dimurkai Allah dan mereka yang sesat!

….. وَٱتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Maksudnya: “……… Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. (Surah Luqman:15)

Dan banyak lagi pengajaran yang boleh didapati daripada Surah Luqman jika surah tersebut ditadabbut. Yang diberi cuma sebahagian daripadanya. Semoga pendekatan yang diceritakan dalam surah Luqman ini menjadi inspirasi dan panduan dalam kita mendidik anak-anak untuk menjadi generasi rabbani. Wahai ayah dan ibu! Didiklah anak-anakmu. Wasiatkanlah anak-anakmu sebagaimana Luqman al-Hakim memberi didikan dan wasiat kepada anaknya.

Membaca Al-Quran untuk Difahami dan Beramal & Praktikal Tadabbur Al-Quran
Konsep yang ingin diterapkan disini adalah konsep tadabbur al-quran. Disinilah paradigma para pelajar akan diubah terhadap al-quran. JIka sebelum ini para pelajar ada asas al-quran, mahir membaca al-qruan beserta tajwid yang tepat, mampu menghafaz al-quran, tetapi amat menyedihkan jika mereka tidak faham akan maksud disebalik ayat / surah yang dibaca. Kerana al-quran diturunkan untuk dijadikan panduan hidup umat Islam & untuk diamalkan ajarannya. Jika pelajar hanya mahir kepada bacaan, kurang manfaatnya. Nescaya, akhlak para pelajar juga masih sama seperti sebelumnya jika menghafaz kesemua surah al-quran sekalipun. Jadi, di kem inilah kami akan mengasuh para peserta untuk tadabbur al-quran dan mengamalkan ajaran al-quran. Insyaallah, akan ada perbezaan kepada akhlaq pelajar itu sendiri secara tidak langsung. 

Praktikal Amalan Sunnah Harian
Amalan sunnah harian terutama mengamalkan doa-doa ringkas akan dibuat secara praktikal di dalam kem ini. Seperti, Doa masuk / keluar rumah, doa masuk / keluar tandas dan banyak lagi amalan yang akan diterapkan. Ia dibuat secara praktikal supaya mudah untuk diamalkan selepas kem tersebut. Dan sebuah buku '1000 Amalan Sunnah' juga akan diberi secara percuma.

Praktikal Wuduk & Solat
Di dalam kem ini, para pelajar akan diajar cara wudu' dan cara solat yang tepat mengikut cara Rasulullah SAW. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia adalah suatu yang wajib dilakukan setiap hari oleh semua umat Islam, bahkan ia juga dipanggil sebagai tiang agama. Jadi, jika setiap waktu melakukannya mengikut cara Rasulullah SAW, pasti tiada pelakuan bid'ah yang dilakukan. Kerana melakukan suatu ibadah yang tidak mengikut apa yang diajar oleh Rasulullah SAW, ia dikira sebagai bid'ah.

“Apabila suatu itu dari perkara dunia kamu, maka kamu sekelian lebih mengetahui dengannya dan apabila ada dari urusan agama kamu, maka kepadaku.” (Hadis Riwayat Ahmad bin Anas)

Maksud di sini, dalam urusan dunia manusia bebas meneroka dan memperkenalkan penemuan baru, teknologi baru dan kemudahan baru, bagi kesempurnaan dan meneruskan kelangsungan kehidupan.
Tetapi dalam urusan agama seperti ibadat solat, ia perlu dilakukan berasaskan sunnah, sama ada cara dan rukunnya.

Nabi pernah bersabda, maksudnya: “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku melakukan solat.”

Bidaah adalah berlawanan dengan sunnah (jalan Rasulullah dan sahabat), yang sepatutnya menjadi jalan ibadat, tanpa berlebih atau berkurang.

Menurut istilah ulama, bidaah ialah satu jalan atau satu cara perbuatan yang diada-adakan dalam agama, tidak pernah berlaku pada zaman Rasulullah dan sahabatnya, dengan maksud untuk mendampingkan diri kepada Allah atau beribadat kepada-Nya kerana ingin mendapat pahala-Nya.

Menjadi Umat Terbaik sebagai Pendakwah (Ghulam al-Dakwah)
Kem Ghulam Al-Dakwah adalah suatu adaptasi daripada kisah dalam satu hadis dimana Ghulam adalah nama seorang kanak-kanak. Cerita lanjut adalah seperti berikut :

Di zaman sebelum kamu dahulu ada seorang raja yang mempunyai seorang tukang sihir. Bila tukang sihir merasa dirinya telah tua, dia berkata kepada raja tersebut: “aku telah tua. Carilah seorang budak (yang paling cerdik) yang boleh aku ajarkan kepadanya sihirku. Lalu dicari seorang budak dan tukang sihir tersebut mengajarkan kepadanya ilmu sihirnya.

Di pertengahan jalan menuju ke tempat belajarnya, terdapat seorang rahib. Budak tersebut telah duduk sebentar mendengar ajaran rahib tersebut dan merasa seronok dengannya. Selepas kali tersebut, setiap kali melalui tempat rahib, budak tersebut akan berhenti dan mendengar ajarannya. Ahirnya bila tiba kepada tukang sihir, ia dipukul (kerana terlambat). Lalu ia mengadu kepada rahib. Rahib berkata kepadanya: “Jika kamu takutkan tukang sihir, katakana kepadanya bahawa ibubapaku menahanku (di rumah). Jika kamu takutkan ibubapamu (kerana lewat pulang), katakana kepada mereka berdua tukang sihir telah menahanku.

Waktu berlalu dan pada suatu hari budak tersebut telah bertemu dengan seekor binatang besar yang menghalang laluan orang ramai. Budak tersebut berkata di dalam hatinya, “Pada hari ini, aku akan tahu siapakah yang lebih hebat, tukang sihir atau rahib. Lalu diambilnya seketul batu dan dibaca: Ya Tuhan, jika sekiranya rahib lebih Engkau cintai dari tukang sihir, maka bunuhlah binatang ini dan berilah laluan kepada orang ramai.” Lalu dilontar batu tersebut dan binatang tersebut pun mati (orang ramai sangat kagum dengan budak tersebut dan mengatakan dia mempunyai ilmu yang kita semua tidak mengetahuinya).

Perkara tersebut diceritakan kepada rahib. Rahib berkata kepadanya: “Engkau pada hari ini telah menjadi lebih hebat dariku. Engkau telah sampai ke peringkat yang aku dapat lihat sekarang. Tapi ingat, engkau akan diuji nanti. Apabila engkau diuji oleh Allah, maka jangan sekali-kali engkau memberitahu tentang ku. Budak tersebut berjaya mengubati penyakit kusta dan sopak. Dan juga dapat mengubat semua penyakit yang dihadapi oleh orang ramai.

Suatu ketika seorang yang dekat dengan raja telah terkena satu penyakit hingga buta matanya. Apabila mendengar tentang kehebatan budak tersebut, dia telah membawa hadiah yang banyak. Dia berkata kepada budak tersebut: “semua ini untukmu jika engkau dapat menyembuhkan mataku.” Budak berkata kepadanya: “Aku tidak mampu menyembuhkan sesiapa. Hanya Allah yang dapat menyembuhkan. Jika engkau beriman dan percaya kepada Allah, aku akan berdoa dan Allah akan menyembuhkan penyakitmu.” Lalu si pembesar buta tersebut percaya dan beriman kepada Allah. Budak tersebut mendoakan untuknya dan matanya pun sembuh seperti sedia kala. Pembesar tersebut datang seperti biasa kepada raja.

Raja terkejut dan bertanya kepadanya: “Siapa yang mengembalikan penglihatanmu?” Kata pembesar tersebut: “Tuhanku.” Raja sangat marah dan mengatakan: “Ada ke tuhan lain selain dariku?” Lalu pembesar tersebut ditangkap dan diseksa hingga dia pun membonngkarkan ajaran budak tersebut. Budak tersebut dibawa kepada raja lalu raja bertanya: “Aku telah mengetahui kehebatanmu, sekarang kamu dapat menyembuhkan penyakit itu dan ini dan dapat melakukan itu dan ini.” Lalu budak itu menjawab: “Aku tidak dapat menyembuhkan sesiapa. Hanya yang dapat menyembuhkan ialah Allah.”

Lalu iapun ditangkap dan terus diseksa sehinggalah ia pun membongkarkan rahsia rahib (kerana tidak tahan dengan seksaan). Lalu rahib pun ditangkap. Ia diserahkan supaya meninggalkan agamanya tetapi rahib menolak. Lalu dibawa gergaji dan diletakkan di atas kepalanya dan digergaji. Tubuhnya terbelah dua dan keduanya melerai jatuh ke bumi. Budak tersebut lalu dibawa lagi kepada raja. Raja berkata: “Balik semula kepada agama asalmu.” Budak menolak lalu raja memanggil sebahagian dari kumpulannya dan dikatakan kepada mereka: “Bawa budak ini ke bukit sekian-sekian dan jika sekiranya ia tetap enggan, campakkan dari atas bukit. Tiba di sana, budak berdoa kepada Allah: “Ya Allah, tolonglah aku dengan cara yang Engkau kehendaki.” Tiba-tiba bukit bergegar dab jatuh kesemua orang-orang raja tersebut. Budak balik berjalan kepada raja. Raja bertanya: “Mana dia kawan-kawanku?” Jawab budak: “Allah telah menolongku menghadapi mereka.”

Lalu raja memanggil sebahagian lagi kumpulannya dan berkata: “Bawa budak ini ke tengah laut. Jika ia enggan, campakkan ia ke dalam laut.” Bila tiba di tengah laut, budak tersebut berdoa dengan doa yang sama. Tiba-tiba perahu tenggelam dan semua kumpulan raja mati lemas. Budak balik semula kepada raja. Raja terkejut dan bertanya: “Mana kawan-kawanku?” Jawab budak: “Allah telah menolongku menghadapi mereka.” Lalu budak tersebut berkata kepada raja: “Kamu tidak mungkin akan dapat membunuhku sehinggalah kamu menurut apa yang aku minta.” Tanya raja: “Apa dia?” Kata budak: “Engkau kumpulkan semua orang ramai di satu padang, kamu ikatkan aku di pohon kurma. Kemudian engkau ambil satu dari panahku dan letakkan panah tersebut pada busurnya. Kemudian engkau baca: Dengan nama Allah, tuhan budak ini. Kemudian engkau panahlah aku. Kalau engkau melakukan begitu, kamu akan dapat membunuhku.

Lalu raja pun mengumpulkan orang ramai di satu padang. Budak itupun diikat pada sebatang pohon kurma. Kemudian diambil satu panah dan diletakkan pada busurnya. Lalu raja membaca: Dengan nama Allah, tuhan budak ini dan terus dipanahnya. Panah tersebut mengenai bawah telinganya. Perlahan-lahan budak meletakkan tangannya pada tempat panah tersebut dan terus meninggal dunia. (Tiba-tiba orang ramai berkata: “Budak ini mengetahui perkara yang kita tidak ketahui)* “Kami percaya kepada Tuhan budak ini.” Raja menjadi kelam kabut dan mengatakan: “Telah berlaku apa yang aku tidak mahu ianya berlaku.” Lalu raja menyuruh digali parit-parit di laluan-laluan orang ramai dan dinyalakan api di dalamnya.

Sesiapa yang lalu akan diarahkan supaya kembali semula kepada agama asal. Jika tidak, akan dicampakkan ke dalam parit tersebut. Lalulah seorang wanita dengan seorang anak kecilnya (bayi). Wanita tersebut gementar takut dicampakkan ke dalam api tersebut. Tiba-tiba bayinya bercakap dan berkata kepada ibunya: “Wahai ibu, sabarlah. Engkau berada di atas kebenaran!” Hadis riwayat Muslim (No.5327 Kitab Zuhud dan Raqa’iq), Tarmizi (No.3263 Kitab Tafseer al-Quran) dan Imam Ahmad. Hadis disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam Kitab Riyadhus Solihin di bawah bab Sabar.

Imam Tarmizi menyatakan bahawa: Budak tersebut kemudiannya dikebumikan. Pada zaman Sayyidina Omar r.a telah ditemui mayatnya dalam keadaan tangannya masih diletakkan di bawah telinganya yang masih luka.

No comments:

Post a Comment

Any suggestion, may leave your comment here. Thank You.